Selasa, Disember 02, 2008

KAMPUNG JALAN IBRAHIM PONTIAN

PENGENALAN

Kampung Jalan Ibrahim, Mukim 3 Pontian merupakan sebuah kampung PINGGIRAN bandar yang terletak kira-kira 2 kilometer dari Bandar Pontian.


Kampung ini juga merupakan sebuah kampung yang lengkap dengan segala kemudahan-kemudahan asas dan sejajar dengan kepesatan pembangunan bandar PONTIAN.



LATAR BELAKANG



Asal kampong Jalan Ibrahim adalah sebuah hutan rimba Kampung ini telah diteroka oleh Tuan Haji Ibrahim Bin Koris pada tahun 1850 yang telah datang dari Muar, Johor bersama adiknya Haji Hassan Bin Koris yang kemudiannya tinggal di Pontian Besar Kiri, Kayu Ara Pasong, Pontian. Pengikut-pengikut Haji Ibrahim Koris adalah terdiri daripada ahli-ahli keluarganya. Tuan Haji Ibrahim Bin Koris mula mendirikan sebuah rumah dan mesjid untuk memulakan pentadbiran dan mengukuhkan perpaduan orang ramai (pengikut-pengikutnya).


Tuan Haji Ibrahim Bin Koris telah dilantik sebagai Ketua Kampung yang pertama oleh penduduk kampung. Beliau juga dilantik sebagai Imam Mesjid Kampung dan dikurniakan tauliah untuk menjadi Naib Kadi. Tapak mesjid kampung pertama telah dibina di atas tanah di kawasan kedai Hajjah Salmah Binti Md.Seth sekarang. Mesjid ini dibina antara tahun 1851 hingga ke tahun 1930.


Pada asalnya perhubungan penduduk kampung adalah melalui sungai Pontian Besar. Mereka bersampan mudik ke hulu sungai Pontian Besar. Apabila penduduk kampung bertambah ramai dari sehari ke sehari, Tuan Haji Ibrahim Bin Koris mula merancang pembinaan jalan darat. Sehinggalah jalan pertama dibina kira-kira pada tahun 1880 yang asalnya lorong yang semak, lurus dan tegak menuju ke jalan besar, sejauh lebih kurang 2 batu. Setelah mendapat kata sepakat dari pengikut-pengikutnya, jalan asal yang diteroka itu diberi nama J A L A N I B R A H I M .

Ahad, November 30, 2008

KEUNIKAN






PERKEMBANGAN & KEMAJUAN DI BAWAH NAUNGAN PENTADBIRAN KETUA KAMPUNG

KETUA KAMPUNG PERTAMA :

Tuan Haji Ibrahim Bin Koris sebagai KETUA KAMPUNG PERTAMA telah berkhidmat di antara tahun 1851 – 1930 telah berjasa membina jalan kampung, sebuah mesjid dan sebuah sekolah iaitu Sekolah Melayu Pontian Besar (di tapak Sekolah Sri Perhentian sekarang). Manakala di kuala Sungai Pontian Besar , didirikan bangunan Shah Bandar oleh kerajaan negeri disebabkan kuala sungai ini sibuk dengan kemasukan kapal-kapal kecil membawa hasil perniagaan ke Kukup / Singapura.
KETUA KAMPUNG KEDUA :
Tuan Haji Ahmad Bin Haji Ibrahim, anak kepada Tuan Haji Ibrahim Bin Koris telah mengambil alih jawatan Ketua Kampung dan menjalankan amanah dari tahun 1947 sehingga 4 APRIL 1962. Beliau telah menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK). Membina jalan tanah merah sejauh 2 batu bersama-sama penduduk kampung. Jalan asal ditajak dan dijaga dengan baik. Beliau juga menggalakkan penduduk kampung membuat kerja secara bergotong-royong. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pengurus Pertama Sekolah Kebangsaan Pontian Besar. Beliau merupakan Ketua UMNO Cawangan Jalan Ibrahim yang pertama – tahun 1946, dan AJK pengasas bangunan UMNO bahagian Pontian bersama-sama Ketua UMNO Bahagian Pontian iaitu YB Tuan Haji Ali Raya. Beliau juga merupakan AJK Mukim Pontian di bawah Penghulu Mukim Pontian – Haji Taam Bin Hj.A.Azim; dan AJK kemerdekaan Tanah Melayu, mewakili Kampung Jalan Ibrahim, Pontian (1955). Beliau adalah Imam mesjid Kampung Jalan Ibrahim yang kedua, memulakan pembinaan Masjid baru iaitu di tapak masjid sekarang. Beliau telah meninggal dunia pada 21.12.1979 kerana sakit tua pada usia 84 tahun.
KETUA KAMPUNG KETIGA :
Tuan Haji Abd. Rahman Bin Yaacob, berkhidmat antara tahun 1962 – 1991, merupakan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kawasan 3 Jalan Ibrahim, Mukim Pontian dan merupakan AJK Mukim Pontian. Beliau juga merupakan Ketua UMNO Cawangan Jalan Ibrahim Pontian dan juga Pengerusi JK Mesjid dan Surau Kampung Jalan Ibrahim, Pontian. Beliau merupakan Imam masjid Kampung Jalan Ibrahim mulai tahun 1962 hingga 1996.
KETUA KAMPUNG KEEMPAT:
Tuan Haji A.Aziz Bin Ismail, berkhidmat mulai 1 OKTOBER 1992 sehingga 30 Mac 1996. Beliau telah menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kawasan 3 Jalan Ibrahim, Mukim Pontian, sebagai Naib Ketua UMNO Cawangan Jalan Ibrahim Pontian dan Pengerusi JK Mesjid dan Surau Kampung Jalan Ibrahim, Pontian, serta AJK Mukim Pontian.
KETUA KAMPUNG KELIMA :
Tuan Haji Ibrahim Bin Hj.Ahmad, anak kepada Tuan Haji Ahmad Bin Haji Ibrahim, memangku jawatan dan seterusnya menjadi Ketua Kampung dari 1 April 1996 sehingga 15 Mac 2005. Beliau telah menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kawasan 3 Jalan Ibrahim, Mukim Pontian, sebagai Ketua UMNO Cawangan Jalan Ibrahim Pontian dan Pengerusi JK Mesjid dan Surau Kampung Jalan Ibrahim, Pontian. Beliau juga adalah Setiausaha Mukim Pontian dan juga Setiausaha Pertubuhan Anak-Anak Yatim Daerah Pontian. Beliau telah meninggal dunia pada 15 Mac 2005 disebabkan serangan jantung pada usia 64 tahun.
KETUA KAMPUNG KE ENAM :
En. Mohd.Arif Bin Yaacob, merupakan adik kepada Tuan Haji Abd. Rahman Bin Yaacob, telah terpilih menjadi Ketua Kampung Jalan Ibrahim mulai sehingga kini. Beliau telah menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kawasan 3 Jalan Ibrahim, Mukim Pontian, dan sebagai Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Jalan Ibrahim Pontian.